Kementerian fokus kepada pelaburan digital

MELAKA: Pelaburan digital dijangka dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca pandemik, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab digital di rantau Asean.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kementerian menggariskan tiga tumpuan utama pada tahun ini iaitu pelaburan digital, prasarana dan keselamatan.

Beliau berkata, di bawah fokus prasarana pula ia akan melibatkan akses internet dan perkhidmatan telekomunikasi, sementara aspek keselamatan membabitkan data serta siber.

“Sebelum ini kita banyak memberi fokus kepada pembinaan pusat-pusat pemprosesan data dan kedepan kita juga akan melihat kepada beberapa sektor lain. Usaha ini akan diselaraskan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

“Perkara ini antara yang penting bagi saya yang mana kita bukan hanya memacu pertumbuhan ekonomi pasca pandemik tetapi juga untuk melihat apa yang boleh kita lakukan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab digital di rantau Asean,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Kerja Pelan Strategik Kementerian Komunikasi dan Digital 2023-2025 di sebuah hotel di Banda Hilir di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mohammad Mentek.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, fokus pelaburan digital adalah termasuk pas nomad dan Program Perdagangan Digital (DE Dagang).

Jelasnya, tumpuan berkenaan secara tidak langsung dapat membawa masuk lebih banyak bakat-bakat baharu ke dalam negara.

“MDEC juga akan meneroka beberapa sektor lain dalam pelaburan digital selepas ini,” katanya.

*Jendela Biz berperanan melancarkan transformasi digital perniagaan atau organisasi anda serta membantu meningkatkan keuntungan, menguruskan kos dengan minimum dan membuka saluran dengan agensi-agensi kerajaan


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *