PETALING JAYA: Sebanyak 10 peraturan baharu yang dikenakan kerajaan Arab Saudi menjelang Ramadan bertujuan baik kerana ia berbentuk peringatan selain membolehkan umat Islam menumpukan sepenuhnya terhadap ibadah.
Peringatan juga diberikan kepada para jemaah yang berniat untuk membawa kanak-kanak agar mengambil berat tentang tingkah laku anak-anak masing-masing agar tidak mengganggu ketenteraman para jemaah lain serta khusyuk ketika solat.
Hal ini juga merupakan satu peringatan yang baik kerana menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mengingatkan anak-anak mereka agar beradab di dalam masjid.
Pegawai Penyelidik di Pejabat Atase Agama, Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur, Ahmad Fazrin Yahaya berkata, bagi Ramadan kali ini, tiada sesuatu pun yang baharu sebaliknya ia merupakan sekadar peringatan kepada arahan yang sedia ada.
Hal ini, katanya, termasuk isu larangan menyiarkan siaran langsung solat tarawih.
Jelasnya, perlu difahami bahawa majoriti imam-imam masjid di Arab Saudi sangat tidak gemar untuk solat mereka disebarkan secara meluas sama ada secara langsung atau rakaman.
“Bagi mereka (imam-imam), solat mereka adalah ibadah untuk dipertontonkan kepada Allah dan bukan untuk manusia. Rakaman atau siaran langsung kepada mata-mata manusia bisa mendatangkan rasa ujub dan hilang ikhlas ibadah tersebut. Adapun siaran langsung bagi Masjidil Haram dan Masjid Nabawi adalah permintaan dari seluruh media dunia.
“Masjidil Haram dan Masjid Nabawi adalah hak milik bersama seluruh umat Islam sedunia, adapun masjid-masjid lain di Arab Saudi khusus untuk penduduk Arab Saudi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jumaat lalu, kerajaan Arab Saudi mengeluarkan pekeliling 10 peraturan baharu menjelang Ramadan.
Menerusi dokumen yang dikeluarkan dan diedarkan oleh Menteri Hal Ehwal Islamnya, Sheikh Dr. Abdullatif Abdullaziz Al-Sheikh berkata, bulan suci Islam Ramadan akan dikawal dan mereka yang berada di dalam kerajaan Arab Saudi mesti mematuhinya.
Langkah itu termasuk pengurangan bunyi pembesar suara masjid sewaktu solat tarawih, mengharamkan penyiaran solat dalam masjid secara langsung di televisyen dan ibu bapa juga dilarang membawa anak ke masjid untuk menunaikan solat.
Selain itu, perintah-perintah lain adalah solat tahajud tidak dipanjangkan terutama pada 10 malam terakhir Ramadan.
Tambah Ahmad Fazrin, arahan-arahan lain jelas sekali bertepatan dengan sunah nabi dalam etika solat dan qiamulail seperti meraikan keperluan awam untuk menamatkan solat qiyam di sepuluh malam terakhir pada waktu yang memberi kadar masa yang mencukupi buat para jemaah bersiap untuk bersahur dan kemudian kembali untuk solat Subuh berjemaah.
Begitu juga gesaan untuk beriltizam dengan petunjuk nabi dalam bab doa qunut witir agar tidak terlalu berjela dan dipenuhi doa-doa sajak berirama.
“Garis panduan beriktikaf juga bukanlah garis panduan baharu dan tiada langsung larangan untuk beriktikaf sekiranya para mutakifin mengikut garis panduan yang ditetapkan.
“Garis panduan sebegini ada di hampir seluruh masjid di dunia. Termasuk dalam garis-garis panduan yang diperingatkan kembali iaitu berkaitan pengurusan menganjurkan iftar di masjid,” katanya.
“Kebersihan perlu dititikberatkan dan dilarang untuk bina apa-apa bilik atau khemah tetap di dalam kawasan masjid untuk tujuan iftar. Ia jelas bagi menjaga keselesaan para jemaah untuk datang mengerjakan solat yang merupakan tujuan utama sesebuah masjid dibina,” ujarnya.
Sumber : Utusan Malaysia
Leave a Reply