PUTRAJAYA, 30 Okt — Selangor dan Pulau Pinang mendahului kadar penembusan 90 peratus pembayaran digital setakat Oktober, kata pengarah kanan bahagian pendigitalan kerajaan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Firdaus Ghani.
Kadar penembusan di Kedah pula mencecah 80 peratus, Perlis lebih 60 peratus, Johor lebih 50 peratus dan Perak kira-kira 49 peratus.
“Pencapaian Selangor dan Pulau Pinang adalah hasil kerjasama pengurusan tertinggi negeri, yang menggalakkan pembayaran tanpa tunai untuk mengurangkan ketirisan dan meningkatkan hasil kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah kempen ‘Cashless Boleh 3.0’ dan ceramah mengenai pembayaran digital di sini hari ini.
PayNet ialah rangkaian pembayaran infrastruktur berpusat untuk pasaran kewangan utama Malaysia dan mengendalikan kemudahan pembayaran digital tujuan umum seperti DuitNow, DuitNow QR dan JomPay.
PayNet dimiliki oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan konsortium 11 bank tempatan.
Kempen ‘Cashless Boleh’ bertujuan mempromosikan tabiat e-payment atau tanpa tunai sebagai kaedah pembayaran utama di Malaysia. Kempen itu juga bagi membantu penghijrahan agensi kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) ke arah mencapai 100 peratus kutipan bayaran tanpa tunai.
Terdahulu, dalam perbincangan berhubung pembayaran digital di sektor awam, wakil agensi kerajaan berkongsi pengalaman melaksanakan kaedah pembayaran tanpa tunai di agensi masing-masing.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata agensi itu sering menghadapi masalah kewangan seperti cek lapuk, isu pembayaran tidak sah atau kehilangan wang tunai sebelum bertukar kepada pembayaran tanpa tunai.
Menurutnya, Jabatan Imigresen telah mencapai 100 peratus pembayaran tanpa tunai sejak Disember 2020 dan masih mengekalkan kadar itu sehingga kini.
“Tiada masalah (pembayaran) tanpa tunai sekarang. Pendekatan yang kami ambil boleh dikatakan ‘dipaksa secara sukarela’, bermakna tiada transaksi tunai.
“Memang kami menerima pelbagai aduan, terutama daripada pihak berkepentingan, tetapi sokongan yang diterima daripada pengurusan tertinggi memastikan kami berada di landasan yang betul dengan inisiatif ini,” katanya.
Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Kesihatan (KKM), D. Dhanesh Kumar berkata, antara cabaran dalam pelaksanaan pembayaran tanpa tunai ialah penerimaan masyarakat, celik digital dan ketersediaan infrastruktur di beberapa kawasan.
Menurutnya, transaksi tanpa tunai melibatkan KKM meningkat daripada 426,000 pada Januari 2023 kepada 1.2 juta sekarang.
Sumber — Bernama
Leave a Reply