Sektor borong dan runcit negara cecah RM142.7 bilion

PETALING JAYA: Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan berjumlah RM142.7 bilion, meningkat 6.5 peratus tahun ke tahun pada September 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Bagi perbandingan suku tahunan, perdagangan borong dan runcit mencatatkan jualan sebanyak RM424.9 bilion pada suku tahun ketiga, tumbuh 6.8 peratus tahun ke tahun.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong yang meningkat 6.9 peratus atau RM4.1 bilion kepada RM64.2 bilion.

“Perdagangan Runcit juga berkembang 5.9 peratus atau RM3.4 bilion kepada RM61.1 bilion, diikuti Kenderaan Bermotor dengan peningkatan 7.0 peratus atau RM1.1 bilion untuk berada pada RM17.5 bilion,” katanya dalam laporan Prestasi Perdagangan Borong dan Runcit September 2023.

Berbanding Ogos 2023, nilai jualan menokok 0.1 peratus, disokong oleh Perdagangan Runcit yang berkembang 0.9 peratus atau RM0.5 bilion, diikuti Perdagangan Borong (0.5 peratus atau RM0.3 bilion). Sebaliknya, Kenderaan Bermotor merosot 3.6 peratus.

Mengulas prestasi mengikut subsektor, Ketua Perangkawan memaklumkan, pertumbuhan 6.9 peratus tahun ke tahun bagi Perdagangan Borong disumbangkan oleh lain-lain Pengkhususan Jualan Borong yang meningkat RM2.0 bilion atau 8.6 peratus kepada RM25.1 bilion.

Ia diikuti oleh Jualan Borong Makanan, Minuman dan Tembakau (7.7 peratus), Jual Borong Bahan Mentah Pertanian dan Haiwan Hidup (9.9 peratus), Jualan Borong Barangan Isi Rumah (4.0 peratus), Perdagangan Borong Tanpa Pengkhususan (6.6 peratus), Jual Borong Berdasarkan Kontrak atau Yuran (7.3 peratus) dan Jualan Borong Jentera, Peralatan dan Bekalan (1.4 peratus).

Bagi perbandingan bulanan, Perdagangan Borong naik 0.5 peratus, terutama disumbangkan oleh Jual Borong Bahan Mentah Pertanian dan Haiwan Hidup (3.4 peratus), lain-lain Pengkhususan Jualan Borong (0.5 peratus) dan Jualan Borong Jentera, Peralatan dan Bekalan (1.7 peratus).

Mengenai subsektor Perdagangan Runcit, Mohd. Uzir berkata, kenaikan 5.9 peratus tahun ke tahun pada bulan dilaporkan disokong oleh Jualan Runcit di Kedai Bukan Pengkhususan yang meningkat 8.9 peratus atau RM1.9 bilion kepada RM23.2 bilion.

Kumpulan lain dalam subsektor itu turut merekodkan pertumbuhan positif iaitu Jualan Runcit di Kedai Pengkhususan (5.5 peratus), Jualan Runcit Makanan, Minuman dan Tembakau (13.4 peratus), Jualan Runcit Bahan Api Kenderaan (5.5 peratus), Jualan Runcit Barangan Isi Rumah (2.4 peratus), Jualan Runcit Barangan Kesenian dan Rekreasi (0.5 peratus), Jualan Runcit di Gerai dan Pasar (5.4 peratus) dan Jualan Runcit Bukan di Kedai, Gerai atau Pasar (1.2 peratus).

Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor itu menokok 0.9 peratus, disokong oleh Jualan Runcit di Kedai Bukan Pengkhususan (1.0 peratus), Jualan Runcit di Kedai Pengkhususan (1.7 peratus) dan Jualan Runcit Kelengkapan Informasi dan Komunikasi (1.5 peratus).

Mengulas lanjut prestasi suku tahunan, beliau berkata, peningkatan 6.8 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2023 bagi Perdagangan Borong dan Runcit didorong oleh Perdagangan Borong yang berkembang RM11.3 bilion atau 6.3 peratus kepada RM191.1 bilion.

“Ini diikuti oleh Perdagangan Runcit yang meningkat 5.9 peratus atau RM10.1 bilion untuk berada pada RM181.3 bilion. Subsektor Kenderaan Bermotor juga meningkat dengan merekodkan pertumbuhan dua digit 11.8 peratus atau RM5.6 bilion kepada RM52.5 bilion pada suku tahun ini,” katanya.

Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, sektor itu meningkat 3.0 peratus. Bagi indeks jualan runcit melalui internet, indeks merekodkan pertumbuhan 2.0 peratus tahun ke tahun pada September 2023 berbanding 1.0 peratus bulan sebelumnya.

Sumber – UTUSAN


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *